MUSIM penuh gemilang ditamatkan Kedah dengan mahkota kejuaraan ketiga – menyapu bersih tiga trofi utama – sesudah membenamkan Perak 3-0 yang beraksi dengan bekalan 10 pemain pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Anak buah pengendali Azraai Khor Abdullah pasti pulang penuh bangga selepas muncul juara mutlak bagi musim 2006-07 ketika penyerang import dari St Vincent & The Grenadines, Marlon Alex James menyumbang dua gol manakala Khyril Muhymeen Zambri membuka tirai jaringan.
Mereka menjuarai Liga Super dan Piala FA sebelum ini.
Dua gol pantas dalam tempoh dua minit pada babak pertama menyentap sedikit sebanyak semangat anak buah Steve Darby yang tenggelam punca dalam cubaan menembusi benteng pertahanan lawan yang utuh ditunjangi ketua pasukan, A Victor dan Cornelius Huggings.
Sekali pun pada awalnya saingan agak perlahan dan sedikit membosankan, ia kemudian bertukar wajah selepas 20 minit pertama dan stadium yang dipenuhi kira-kira 80,000 penonton gegak gempita meraikan gol pertama Kedah jaringan Khyril Muhymeen.
Jaringan yang hadir pada minit ke-25 itu berpunca daripada serangan balas pantas Hijau Kuning dengan James menyedari Khyril Muhymeen berseorangan di sayap kiri dan melorongkan bola tepat kepada pemain skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu.
Khyril Muhymeen yang tidak dikawal rapi pertahanan Perak melarikan bola ke penjuru kiri kotak penalti lawan sebelum merembat cantik melepasi jangkauan penjaga gol lawan, Nasril Nourdin.
Dua minit kemudian, stadium bergegar lagi dengan tempikan dan teriakan keriangan penyokong Kedah apabila James, yang kempunan beraksi pada final Piala FA 30 Jun lalu kerana penggantungan perlawanan, menambah gol kedua buat pasukannya.
Menerusi satu lagi serangan balas, James yang mendapat hantaran pendek rakan serangannya Hasmawi Hassan, bijak berpusing 90 darjah sebelum meledakkan tendangan separa voli kaki kiri sekali gus menyaksikan Nasril tertewas kali kedua.
Petanda malang terus melanda Perak, juara Piala Malaysia tujuh kali, apabila selepas 36 minit mereka tidak dapat menggunakan khidmat dua penyerang utamanya, Khalid Jamlus dan Keita Mandjou yang mengalami kecederaan apabila dikasari lawan.
Khalid, pertaruhan terbaik Darby untuk mendapatkan gol, tercedera dan digantikan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-30 manakala Mandjou, import dari Guinea, terpaksa akur dengan keadaan dan digantikan R Surendren enam minit kemudian.
Lebih malang buat skuad Seladang, mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain dua minit sebelum babak pertama tamat apabila ketua pasukannya, Ahmad Shahrul Azhar Sofian menerima kad kuning kedua sekali gus dilayangkan kad merah.
Ahmad Shahrul, yang menerima kad kuning pertama pada minit ke-22 kerana mengasari pemain tengah Kedah,Nelson Sam Martin, dihukum pengadil C Ravichandran dari Selangor kerana terjahan serupa ke atas pemain import dari Chile itu.
James memadamkan terus sebarang cabaran Perak dengan gol ketiga sembilan minit sebelum tamat selepas hantaran lambung Ahmad Fauzi Shaari dari tengah bijak disempurnakannya dengan sepakan kaki kiri ke penjuru kanan pintu gol lawan memperdayakan Nasril.
KEDAH: Helmi Eliza Elias; V Thirumurugan, A Victor, Cornelius Huggings, Shafizan Hashim; K Soley (MatSabre Abu m80), Ahmad Fauzi Shaari, Nelson Sam Martin(Bunyamin Umar m60), Khyril Muhymeen Zambri (SamransakKram m69); Hasmawi Hassan, Marlon Alex James.
PERAK: Nasril Nourdin; Ahmad Azlan Zainal (SSubramaniam m66), Vedran Kukoc, Chan Wing Hoong; K Nanthakumar; Shahrulnizam Mustapa, Yusri Che Lah, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Danial Fadzly Abdullah; Khalid Jamlus (Ahmad Fakri Saarani m30), Keita Mandjou (R Surendran m36).
Pengadil: C Ravichandran
(Oleh Hamdan Saaid dan Mohd Fadzrie Hazis -Berita Harian)
Saturday, September 8, 2007
Hijau Kuning lakar sejarah
Raih tiga gelaran semusim selepas belasah Perak saingan final Piala Malaysia malam tadi
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment