Sunday, September 30, 2007

Aku Sangat Glamour? Jangan Perasanlah..

cinta.jpg

Aku ni tak glamour pun tapi saja-saja perasan kenkununnya glamour apabila hendak menulis artikel  ini. Seronok ke bila menjadi orang glamour nih? Aku tak tahu pun seronok ke tak sebab belum pun glamour lagi. Ye ke? Yelahh, kalau ada pun mungkin aku tak perasan waktu bila aku glamour tu. Aku lebih suka bersikap misteri dan kurang dikenali daripada glamour tidak bertempat. Berbeza pula dengan sikap isteri aku yang sukakan glamour dan suka menonjolkan diri. Dalam setiap aktiviti yang dia sertai, mesti namanya akan selalu disebut-sebut. Glamour sehh!

Aku mengenali isteri aku sebagai seorang perfectionist! Sentiasa mahu perfect dalam semua perkara walaupun terpaksa bermake-up hanya untuk keluar ke kedai runcit depan rumah.Menangis tersedu-sedu mengatakan aku tidak memahami dia hanya kerana aku terlupa memakai perfume semasa keluar ke pasar malam di taman perumahan sebelah.Berbeza pula dengan aku seorang yang selekeh dan bersikap asal buat. Terlalu tipikal melayu tulin yang jelek. Mungkin itulah sebab mengapa kami ditakdirkan untuk hidup bersama.Dua insan yang berlainan sikap dan pemikiran ditemukan untuk satu pengembaraan dalam kehidupan. Semakin jauh kami mengembara, semakin banyak yang titik perbezaan yang ditemui yang harus kami kompromi. Begitulah betapa indahnya pengembaraan yang telah ditentukanNya. Harapnya pengembaraan ini berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Berbalik kepada glamour tadi, aku menulis di laman blog ini hanyalah untuk suka-suka sahaja. Tempat melepaskan perasaan. Tapi, kadang aku ingin tahu jugak ada ke tidak orang yang ingin membaca luahan perasaan yang merapu aku ini. Manalah tahu, kot aku ni glamour jugak ke..Haha..Rupanya aku belum glamour lagik..Data trafik Alexa pun malu nak keluar untuk menunjukkan statistik sebab tak ada pun data yang nak ditunjukkan. Jauh sekalilah Google PR yang diwar-warkan sudah dihentikan oleh Google. Hah! Aku tak kisah pun kalau aku tak glamour.

Kadang-kadang aku melawat juga laman-laman blog yang lain untuk membaca dan mendapatkan idea mereka yang lain dan untuk melihat keglamoran mereka. Tetapi masa bagi aku membaca dan menyertai perbincangan secara aktif kadang-kadang adalah terhad. Bila berkesempatan aku meninggalkan komentar. Aku kadang-kadang cukup marah jika aku memberi komen tetapi dihalang oleh perangkap spam yang di pasang di laman blog mereka. Bukan hapa, penat aku menaip komentar aku tapi sia-sia je dimakan oleh perangkap spam. Ianya seperti rumah terbuka tetapi anda dihalang untuk bersuara."Jika bersuara aku masukkan kau ke dalam tong sampah..Woh!Hoh!Hoh!." Maka aku pun menghentikan lawatan aku selama-lamanya ke laman blog itu. Dah orang tak sudi buat hapa aku nak pergi rumah terbuka dia. "Oii brader! Itu rumah aku, hak akulah untuk menentukan peraturannya!!". Aku pun jawab balik, "Ini hanya luahan perasaan aku je.Janganlah terasa pulak!." Ikut suka kaulah labuuuuuu!!!......

Friday, September 28, 2007

Bayaran Google Adsense Kini Hanya 1 Hari Melalui Western Union

Berita baik bagi mereka yang mendapat pembayaran melalui program Google Adsense kerana kini Google Adsense akan memberikan pilihan untuk menerima pembayaran melalui Western Union QuickCash hanya 1 hari sahaja. Berbanding sebelum Western Union diperkenalkan, pembayaran hanya boleh dinikmati selepas hampir 2 bulan daripada tarikh pembayaran Google Adsense. Mana tidaknya, 3 minggu untuk menunggu cek daripada Google dan sebulan untuk pembayaran dikreditkan ke dalam akaun. Lama tuh!!..

Bagaimanakah proses untuk menukar cara pembayaran ke Western Union?
  1. Login ke akaun anda di http://www.google.com/adsense
  2. Klik tab My Account
  3. Klik pautan edit di sebelah Payment Details
  4. Pilih butang radio Setup Western Union QuickCash
  5. Klik Continue
  6. Klik Save Changes.

Seterusnya, anda hanya perlu melawat cawangan bank yang berdekatan yang menawarkan Western Union untuk mengambil pembayaran anda dengan menunjukkan hanya MyKad sahaja. Anda boleh check cawangan Western Union yang berdekatan di http://www.payment-solutions.com/agent.asp.

Pembayaran maksima yang ditetapkan oleh Google melalui Western Union hanya USD2800.00 (Banyak tu!!). Jika anda mempunyai amaun melebihi jumlah ini, bentuk pembayaran secara automatik akan bertukar kepada penghantaran cek. Setakat ini boleh dikatakan bahawa khidmat pembayaran melalui Western Union Quickcash masih lagi percuma. Tidak diketahui samada di masa hadapan akan dikenakan caj perkhidmatan.

Pada ketika dan saat ini Google baru sahaja mengumumkan pemilihan pembayaran melalui Western Union. Bagaimana efektifnya sistem ini masih belum diketahui lagi. Namun sudah ada beberapa orang rakyat tempatan yang telah dipilih untuk menjalani program percubaan pembayaran melalui Western Union dan mereka menyatakan ianya amatlah memudahkan.

Yang belum lagi mempunyai mencuba peluang untuk menambah pendapatan melalui program Google Adsense, anda boleh menyertainya sekarang.

Wednesday, September 26, 2007

Hebatnya Cabaran Aku Berpuasa Di Rantauan

Ketika menjamah juadah berbuka puasa yang serba ringkas semalam, aku teringatkan pengalaman berpuasa di rantauan orang pada Ramadan yang lepas. Alhamdulillah, betapa aku sangat beruntung kerana dipanjangkan umur untuk dipertemukan lagi dengan Ramadan pada tahun ini dan dapat bersama-sama berbuka puasa bersama keluarga. Ramadan pada tahun lepas selama 2 minggu, aku diberi sales assignment ke Doha, Qatar dan Muscat, Oman. Owhh! Tersangatlah bosan sekali..Percayalah cakap aku.

beriani.jpg

Sebenarnya, inilah pengalaman pertama aku menjejakkan kaki ke Doha, Qatar di bulan Ramadan iaitu sebulan sebelum sukan Asia Doha 2006 berlangsung. Ketika ini cuaca di Doha masih di penghujung musim panas dengan bacaan suhu menghampiri 40 degree Celcius. Terasa angin panas menghembus ke kulit ketika menjejak kaki keluar daripada airport Doha. Aku masih lagi mengekalkan keheroan aku kerana bertegas untuk berpuasa walaupun berstatus musafir. Malas ahh, nak ganti puasa pulakk! Selepas bangun daripada tidur, aku menghadapi cabaran pertama untuk berbuka puasa dengan berjalan kaki kira-kira 500m dari hotel mencari restoran yang berdekatan. Itulah perjalanan aku yang aku rasa dekat je tapi jauh. Sebenarnya di hotel pun ada juga restoran tapi mahal sehh!! Habis pulak nanti elaun aku nak makan di hotel je hari-hari.

burung.jpg

Keesokkan harinya cabaran lebih besar datang apabila aku tersadai di kawasan perindustrian selepas habis perjumpaan dengan seorang pelanggan. Disebabkan aku terlupa untuk memesan kepada teksi driver supaya menunggu, sudahnya aku terpaksa berjalan kaki ke jalan utama yang jaraknya 1km di bawah panahan cahaya mentari tepat di atas kepala. Kemudian apabila sampai ke jalan utama, ada ke patut teksi yang ditahan semua bagi alasan nak balik tidur? "Sirr..Sirr...No sirrr, time to sleep. Very hot now!" kata salah sorang pemandu teksi yang aku jumpa..Mahu je aku bagi backhand je dekat driver teksi tersebut. Tetapi hati aku menjerit sabarrr. Inilah cabarannnn!!! Hebat sungguh ujian daripada-Nya. Alhamdulillah! Aku bersama family aku pada tahun ini.

Tuesday, September 25, 2007

...Hari Dah Hujan, Angkat Kain Di Jemuran

gaban.jpg

Aku meredah hujan lagi pagi semalam sewaktu dalam perjalanan ke ofis. Mulanya, aku ingat nak memandu sahaja tetapi di kawasan perumahan aku hujan sudah pun berhenti. Aku pun apa lagi, terus melompat ke atas tunggangan dan merempitlah aku ke ofis. Rupa-rupanya panas yang ku harap hingga ke ofis tetapi hujan di tengah jalan! Terpaksalah aku transform ke pakaian hujan..Teringat aku kepada cerita TV GABAN yang amat aku minati suatu ketika dahulu. Alangkah coolnya jika aku dapat bertukar kepada baju hujan seperti bertukar menjadi SPACE COP GABAN. Tapi sempat ke? Mahu basah kuyup dulu sebelum sempat transform sepenuhnya menjadi GABAN.

Fenomena cuaca sekarang agak menggusarkan aku. Ada ketika panas sampai aku tak tahan dan ada ketikanya hujan seperti tak mahu berhenti. Adakah ini menandakan bahawa bumi kita sudah terlalu tua? Semakin banyak pencemaran? Huh! aku pun tak tahu...

Monday, September 24, 2007

GIMP - Perisian Alternatif Untuk Pengeditan Imej

Eh! Kamu tahu ada perisian alternatif untuk Adobe Photoshop yang mahal itu.? Bagi yang menggunakan komputer di rumah, semestinya perisian cap lanun yang dipasang ke PC mereka. Mahal sehh!! Untuk versi paling cokia pun harga dah mencecah ribuan RM. Bagaimana nak memasang di komputer jika gaji sebulan pun kadang-kadang boleh miss soruu..Bagaimanapun, dengan kesedaran harta intelektual yang makin berkembang, sememangnya perisian alternatif perlu dicari. Ada ke? Adalahh..

GIMP, satu perisian open-source license (sumber lesen terbuka) yang sememangnya diedarkan percuma, merupakan satu alternatif bagi perisian Adobe Photoshop yang mahal itu. Boleh didapati untuk beberapa versi operating systems seperti Unix, Windows dan MacOS, Gimp didapati sangat bersesuaian untuk dipelajari dan digunakan secara efektif.

gimp.jpg

GIMP juga terdapat dalam beberapa bahasa termasuk bahasa melayu. Tentulah lebih senang untuk dipelajari. Bagi aku pulak, terasa agak janggal sedikit kerana sudah terbiasa membaca bahasa-bahasa jargon komputer dalam bahasa inggeris. Jangan kondem aku sebab aku bukan Sharifah Amani tawwwwww! Baiklah..Oleh kerana majoriti pengguna PC mempunyai Windows yang sudah tersedia pasang, aku berikan pautan yang perlu memuat-turunkan perisian berkaitan yang sesuai dengan Windows. Untuk memasang perisian ini, dua program perlu dimuat-turunkan:
  1. The GIMP for Windows (versi 2.2.17) dan
  2. GTK+ 2 Runtime Environment (version 2.10.13) - Bagi versi Windows 2000 ke atas, atau
  3. GTK+ 2 Runtime Environment (version 2.6.10-20050823) - versi Windows 98/ME dan Windows NT4.
Itulah dia perisian GIMP yang bakal mengubah persepsi keperluan memiliki perisian yang mahal seperti Adobe Photoshop. Tak perlulah lagi memakai versi cap lanun. Gunakanlah GIMP untuk menghilangkan ragu-ragu anda terutama sekali di pejabat yang semestinya menjadi tumpuan operasi pencegahan oleh BSA dan KPDNHEP. Bersediakah anda untuk masuk penjara dan membayar RM10,000 untuk setiap satu perisian cap lanun yang dipasang?

Sunday, September 23, 2007

Nah Ambik RM140,000,000 Dan Anda Dipecat!

moanrinho.jpg

Wah! Sanggupkah anda dipecat jika pampasan yang dibayar oleh majikan anda sebegitu besar nilainya..Aku sanggup! Pecatlah 10x pun tak mengapa..Tapi itulah nilai yang berkemungkinan pengurus Chelsea, Jose Mourinho akan terima kerana dipecat daripada jawatan sebagai pengurus pasukan Chelsea. Incik Mourinho yang menerima gaji sebanyak RM40juta setahun mempunyai kontrak lagi 3 tahun semasa dipecat daripada jawatan. Mourinho memang dipecat pun walaupun media cuba menggunakan perkataan persetujuan bersama. Secara profesional, baki bayaran kontrak perlu dijelaskan oleh Incik Roman selepas memecat Incik Mourinho. Ahh! Apalah sangat nilai RM140 juta di mata Roman Abramovich, si billionaire minyak dari Russia tu. Mungkin itu hanya nilai untuk pencungkil giginya sahaja. Apa-apa pun, incik Mourihno meninggalkan kelab Chelsea dengan rekod pencapaian yang  baik dan boleh dibanggakan. Aku berpendapat tiada yang lebih baik bagi beliau apabila meninggalkan kelab bolasepak Chelsea ketika di puncak kejayaan bersama dengan pampasan RM140 juta. Banyakkkkkkk tuu!!!

Errr...Mahukah Incik Roman mengambil aku sebagai pengganti Incik Mourinho? Aku boleh mengajar Petr Cech menyimpan rambut panjang berteknik rebonding ikatan ekor kuda..Eh! Macam stail penjaga skuad Malaysia yang kena bantai 6-0 lah pulak..Siapa ye penjaga gol tuuuuu....??

Thursday, September 20, 2007

Nurin Jazlin Telah Dijumpai!

nurin.JPGAkhirnya pencarian Nurin Jazlin telah berakhir. Bagaimana Adik Nurin dijumpai sangatlah mengejutkan serta penuh dengan kemarahan kepada sesiapa yang melihat keadaannya yang sudah tidak bernyawa lagi.Sebelum ini kita dikejutkan dengan terjumpanya sebuah beg pakaian yang mengandungi mayat kanak-kanak yang berumur lingkungan 8-9 tahun. Kanak-kanak tersebut dirogol dan dibunuh dengan begitu kejam sekali berdasarkan kepada kesan kecederaan di tubuhnya. Ibu-bapa Nurin telah membuat pengecaman dan mengatakan bahawa kanak-kanak tersebut bukanlah Nurin yang hilang berdasarkan kepada fizikal mayat. Bagaimanapun ujian DNA telah dilakukan oleh pihak polis dan mengesahkan bahawa mayat kanak-kanak tersebut adalah Nurin yang sudah hilang selama sebulan. Ya tuhan..Apakah dosa anak kecil ini sehingga diperlakukan sedemikian rupa. Sungguh kejam! Pihak polis perlu mempergiatkan usaha mencari pembunuh ini dan bawa orang syaitan (Bolehkah aku simpulkan bahawa pembunuhnya itu bukanlah manusia tetapi syaitan? ) ini ke muka pengadilan.

Semoga roh Nurin Jazlin dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t

Wednesday, September 19, 2007

Harga Ikan Naik, Harga Ayam Naik

nelayan.jpg

Bila aku membaca berita di suratkhabar sehari dua ini, hati aku tercuit dan tertanya-tanya, kenapa harga perlu naik sedangkan kesemua ini adalah bahan asas. Tidakkah boleh dikawal harganya oleh pihak berkuasa? Aku sangat hairan kerana pak menteri tak tahukah berapa gaji asas seorang operator kilang di Prai? Dia tak tahukah berapa jam sehari kena bekerja untuk mendapat gaji tak sampai RM500 sebulan berbanding dengan pak menteri yang gaji beribu sebulan yang diketahui dan berapa juta gaji bawah meja yang tidak diketahui? Aku sangat sedih! Kenapa pihak berkuasa terlalu mudah tunduk kepada desakan peniaga-peniaga yang rakus? Hampir setiap tahun benda yang sama berulang tetapi apakah langkah yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mengatasi masalah ini? Banyak persoalan sebenarnya daripada jawapan...

Dalam isu kenaikkan harga ayam, macam-macam alasan telah diberikan sampai menteri pertanian pun setuju harga ayam perlu dinaikkan kerana kenaikkan kos harga makanan ayam. Dengan harga ikan yang mencanak naik kerana faktor musim tengkujuh tapi betul ke ni?? Bukan kah nelayan sekarang mempunyai bot yang canggih dan besar untuk ke laut ke? Faktor yang paling besar aku lihat adalah faktor orang tengah yang mahu meraih keuntungan lebih. Siapa yang menjadi mangsa? Penggunalahh!! Setiap tahun kerajaan memberi peruntukkan yang besar kepada sektor pertanian dengan hajat untuk memajukan sektor ini. Kemana duit-duit tu dah pergi ye? Bayar tiket kepal terbang first class untuk pak menteri melawat ladang lembu di Australia kah??

Apabila melibatkan makanan asas, kementerian perlulah memainkan peranan penting untuk mengawal harga kerana rakyat yang tidak berkemampuan memerlukannya. Cadangan aku adalah untuk menggunakan FAMA, salah satu agensi dibawah kementerian pertanian dengan semaksima mungkin. Aku pasti FAMA yang berada dihampir setiap pelosok negara dapat mengambil alih tugas orang tengah. Dengan cara ini, FAMA yang mempunyai keupayaan gudang penyimpanan seperti bilik sejuk beku akan membeli secara borong daripada nelayan dan menjual kepada peniaga-peniaga runcit di pasar besar. FAMA bukan sahaja dapat membantu pengguna mendapat harga yang murah tapi dapat juga membantu nelayan-nelayan kecil untuk mendapat kehidupan yang lebih baik. Semestinya FAMA tidak boleh digunakan sebagai agensi mencari keuntungan kerana operasinya ditampung oleh kerajaan. Dalam masa yang sama benarkan FAMA untuk mengimport ayam hidup daripada Thailand untuk mengimbangi ancaman penternak tempatan. Dengan cara ini, akan terdapat lambakan ayam di pasaran yang akan dapat mengawal kenaikkan harga. Peniaga tidak akan sewenang-wenangnya berani menaikkan harga dengan memberikan alasan tidak munasabah seperti kos sudah naik. Tapi mahukah mereka-mereka di pihak yang berwajib melihat dan mendengar cadangan ini jika tiada keuntungan masuk ke poket sendiri? Ingatkah anda kepada pasar tani?? Nampaknya, buat masa sekarang berterus-terusanlah rakyat yang berpendapatan rendah hidup dalam tekanan.

Err..Harga gas nak naik, aku dah beritahu ke belum..?

Tuesday, September 18, 2007

Pakai Celcom Tapi Nombornya 012

telco.jpg
Berita terkini yang baru sahaja diumumkan oleh menteri berkenaan bahawa bermula tahun depan, kita boleh memilih untuk bertukar ke mana-mana syarikat telekomunikasi tanpa perlu menukar nombor handphone. Ini membawa makna yang baru kepada industri telekomunikasi negara dan senario tajuk di atas akan berlaku.Yang untungnya adalah pengguna macam aku. Sebelum semua bersorak riang gembira dan berkenduri 7 hari 7 malam, perlu diingatkan bahawa keistimewaan ini hanya melibatkan pelanggan postpaid sahaja.

Nanti kita akan lihat persaingan dan peperangan besar-besaran di antara syarikat telekomunikasi untuk menarik pelanggan baru seperti yang berlaku sekarang bagi segmen prepaid. Banyaklah promosi-promosi dan tawaran menarik yang akan ditawarkan. Semestinya ini akan memberikan keuntungan kepada pengguna. Apalagi, bersoraklah "Yahooo!!!!Yabedabeduuuuu!!!"

Monday, September 17, 2007

Maaf! Perkhidmatan Streamyx Tidak Dapat Disediakan Di Kawasan Anda

Semalam aku membantu rakan pejabat aku untuk check samaada kawasan rumahnya boleh memohon servis Streamyx ataupun tidak. Dia telah diberitahu oleh ejen streamyx bahawa kawasan rumahnya tiada perkhidmatan streamyx dan dia meminta aku membuat pengesahan. Lalu aku dengan baik hatinya (Superhero kannn..) terus login ke laman TMNET. Setelah memasukkan nombor telefon 04-03XXXXXX ke kolum yang berkenaan dan menekan butang submit, jawapan yang aku alihbahasakan didapati sungguh menghampakan seperti berikut:
Pemeriksaan lanjut perlu dilakukan kerana jarak rumah anda daripada pencawang terdekat melebihi 5KM. Sila cuba untuk mendaftar servis Streamyx wireless dengan klik disini

Sungguh menghampakan bagi rakan aku itu kerana dia telah mendaftar talian tetap yang baru hanya untuk digunakan dengan streamyx. Talian tetap tersebut tidak boleh dibatalkan kerana mempunyai kontrak selama setahun..Rugi..Rugi..Sungguh tidak beretika ejen streamyx tersebut kerana tidak memberi penerangan dengan jelas dan jalur TMNET sungguh tak lebar walaupun kawasan rumah rakan aku itu adalah kawasan yang agak tersohorlah juga di Butterworth ni.

PenangFON

Tahukah anda bahawa PenangFON menawarkan khidmat broadband dengan kelajuan 2mbps dengan bayaran hanya RM60 sahaja sebulan tanpa perlu mempunyai talian tetap? Sungguh teruja sekali apabila aku membaca di laman web PenangFON. Bagaimanapun terdapat limitasi untuk service area yang berkitar di bahagian pulau sahaja. Kalaulah aku tinggal di kawasan tersebut....

Pengalaman Aku Minum Teh Di Cairo!

kedaiteh.jpg
Pengalaman kembara yang paling aku tidak boleh lupai adalah pengalaman minum teh di Cairo/Kaherah semasa lawatan aku ke sana di bulan Mac 2007. Aku fobia sampai sekarang apabila nak minum teh. Salah aku jugak sebab tak check habis-habis. Ceritanya terjadi selepas aku dan rakan sekerja habis berjalan-jalan sekitar bazaar Khan El-Khalili. Terasa dahaga pulak setelah penat berjalan di bazaar.Pada mulanya kami eksyen habis sebab tak nak pandang pun gerai jual air berdekatan dengan kedai teh (kedai teh macam kedai kopilah dekat Malaysia) yang kami nak masuk. Member aku komplen pasal bersih ke tak air yang dijualnya tu. Jadi kami ke kedai teh lah yang nampak gah sikit untuk menghilangkan dahaga kami ni. Setelah memesan dua cawan teh, kami pun duduk di meja berdekatan dengan booth telefon yang dilitupi dengan kain langsir.

"Macamana nak privasi kalau tutup dengan kain langsir je? Buatlah proper booth.. " Komen aku kepada member aku tu.

Selepas pesanan dua cawan teh dihantar, kami pun meneguk dengan sepantas kilat. Maklumlah kami ni dalam kedahagaan. Cara hidangan teh di Egypt agak canggih sedikit dimana customer diberikan segelas teh bersama segelas air kosong dan sepiring gula untuk kita tambah secukup rasa. Sambil aku menikmati air kosong yang disediakan, aku yang duduk betul-betul bersebelahan langsir ternampak seorang lelaki masuk untuk menggunakan telefon dengan tergesa-gesa. Melihat gelagatnya disebalik langsir, aku menjadi semakin pelik sebab dia diam jek...Kalau menelefon seseorang mestilah terdengar suaranya bercakap-cakap. Tiba-tiba!!!!!! Lelaki tadi keluar dengan perasaan lega sambil membetulkan zipnya dan satu kejutan buat aku kerana disebalik langsir yang aku sangkakan pondok telefon tadi rupanya terdapat sebijik mangkuk tandas yang sangat menjijikkan...Aisehmannn!!! Aku minum teh disebelah mangkuk tandas rupanya...Air kosong bersama teh yang aku telan tadi melonjak-lonjak menjerit nak keluar balik dari salur esofagus sambil mataku layu memerhatikan lebih banyak insan silih berganti di sebalik langsir tersebut. Perlahan-lahan aku mengatur langkah keluar daripada kedai teh yang gah itu...

Sesungguhnya aku tidak lagi akan menjejakkan kaki ke kedai teh di Egypt untuk minum secawan teh ..

Sunday, September 16, 2007

Ferrari Menang Bergaya di F1 Grand Prix Belgium

Pasukan Ferrari menang dengan penuh bergaya di Grand Prix F1 Belgium dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan podium pertama dan kedua. Kimi Raikkonen mendahului perlumbaan daripada awal hingga ke penghabisan dan diikuti oleh Felipe Massa untuk penguasaan total pasukan Ferrari. Raikkonen kini hanya 13 mata di belakang Hamilton untuk kejuaraan F1 musim ini dengan 30 mata masih boleh dimenangi.

Bagi pasukan McLaren pula yang didapati bersalah dalam skandal pengintipan teknologi pasukan Ferrari baru sahaja didenda USD100 juta dan ditolak kesemua mata kejuaraan kategori pengeluar.Bagaimanapun kedua-dua pemandu mereka Hamilton dan juara dunia musim lalu Alonso dibenarkan untuk meneruskan pertandingan. Di kejohanan GP Belgium ini, persaingan sengit berlaku di antara Alonso dan Hamilton berakhir dengan Alonso mendahului Hamilton pada kedudukan ketiga dan keempat.


Keputusan penuh 2007 Grand Prix F1 Belgium




Komentar : Kegilaan aku kepada perlumbaan F1 tergendala sekejap apabila Micheal Schumacher bersara di musim yang lepas. Aku lebih meminati pemandu yang berskil tinggi daripada mengikuti pasukan F1. Pada pandangan aku, masih belum ada pengganti yang berkarisma seperti Schumacher lagi. Kemungkinan yang terdekat adalah sensasi musim ini iaitu Lewis Hamilton. Bagi aku Alonso masih belum dapat menarik perhatian aku untuk menyokong beliau. Mungkin karakternya yang tidak menarik perhatian aku.

Saturday, September 15, 2007

Liverpool Hanya Mampu Seri

livports.jpgLiverpool hanya mampu mencatatkan seri tanpa jaringan di Fratton Park semalam. Perlawanan menentang Portsmouth yang agak seimbang ini menyaksikan Jamie Carragher turun buat kali pertama selepas dua minggu mengalami kecederaan tulang rusuknya. Banyak peluang-peluang menarik dicipta tetapi tidak dapat disudahkan dengan baik oleh penyerang kedua-dua pasukan terutama sekali oleh Liverpool yang memilih untuk tidak menurunkan Torres di awal perlawanan. Kelihatan gandingan Andriy Voronin dan Peter Crouch kurang menjadi bilamana gagal memanfaat peluang untuk menjaringkan gol.

Penjaga gol Liverpool, Pepe Reina menjadi penyelamat kepada pasukan apabila Portsmouth dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Mike Riley apabila Alvaro Arbeloa kelihatan menarik baju penyerang Arsenal, Kanu. Pepe Reina melonjak dirinya ke sebelah kanan untuk menolak keluar tendangan Kanu.

Perlawanan ini menampakkan Rafa begitu berhati-hati dalam percaturannya dengan tidak menurunkan kesebelasan utama yang menewaskan pasukan Derby 6-0. Percaturan yang kurang menjadi ini dibuat selepas mengambil kira kecergasan pemain yang terlibat dalam perlawanan antarabangsa dan persediaannya menghadapi Porto FC di pertandingan Liga Juara-Juara Eropah. Rafa menurunkan Torres, Steven Gerard dan Babel pada lewat permainan untuk cuba meraih tiga mata penuh daripada perlawanan ini bagaimanapun gagal. Peluang terbaik Liverpool hasil gerakan cantik Pennant, Sissoko dan Babel bagaimanapun gagal disudahkan oleh Voronin apabila sepakannya terkena palang atas gol Portsmouth.

Pompey yang menyaksikan kembalinya Sol Campbell dan kehadiran Papa Bouba Diop di barisan tengah Portsmouth gagal menjumpai rentak permainan yang diperlukan di awal minit permainan. Peningkatan permainan semakin baik ditunjukkan oleh Portsmouth apabila minit permainan bertambah. Penyerang Portsmouth Kanu dan Benjani mempunyai banyak peluang yang disia-siakan di hadapan pintu gol Liverpool apabila gagal menyudahkan hantaran.

Corak perlawanan terus seimbang hingga ke akhir dengan kedua-dua pasukan menyerang. Nampaknya Liverpool masih tidak dapat memecah kebuntuan kemenangan ke atas Portsmouth yang mempunyai rekod yang baik ke atas Liverpool. Pada musim yang lepas, Portsmouth berjaya mencuri 4 daripada 6 mata perlawanan liga daripada Liverpool.

Thursday, September 13, 2007

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak

masjid.jpg

Semasa aku menonton Buletin Utama..
Pembaca berita, "Kita berhenti seketika untuk mendengar satu pesanan penting." Aku ingat umum apa, rupanya nak umum tarikh berpuasa pada hari Khamis 13/9/2007. Alhamdulillah! Umur aku dipanjangkan untuk bertemu lagi dengan bulan yang mulia bulan Ramadan Al-Mubarak. Seingat aku selama berpuasa dari mula dulu (Mungkin masa aku darjah 3 kut) hingga dah angka depan jadik 3, hanya 2 hari sahaja aku tertinggal puasa.Sebabnya biarlah rahsia...Itu pun dah diganti..

Apa-apa pun, tanamkan semangat, lakukan ibadah puasa dengan seikhlas hati dan elakkan pembaziran. Dengan ini, aku ingin mengucapkan, Selamat Menyambut Ramadan Al Mubarak.



Monday, September 10, 2007

Bajet 2008

Aku lambat sket ler nak meng-update-kan blog aku ni sekarang sebab banyak keja pulak nak kena buat. Macamana pun blog ni kena update jugak kan..Jadi aku nak menulis mengenai bajet 2008 yang diumumkan pada hari Jumaat yang lalu oleh Perdana Menteri Malaysia yang asyik tertidur je..Nasib baik masa pembentangan Bajet 2008 dia tak tidur...Antara isipati Bajet 2008 yang mempunyai kesan langsung kepada hidup aku di tahun 2008 :

  1. Pengeluaran akaun 2 KWSP dibenarkan setiap bulan untuk membiayai ansuran pembelian bagi sebuah rumah.Cepat sikit habis hutang rumah aku tu..

  2. Pengurangan duti stem bagi pembelian rumah yang bernilai kurang daripada RM250000.

  3. Penghapusan yuran persekolahan di peringkat rendah dan menengah. RM4.50 je setahun!! Patut dah lama dihapuskan.

  4. Pemberian pinjaman buku teks kepada semua pelajar tanpa mengambil kira pendapatan isi keluarga.

  5. Dividen pelaburan yang dikecualikan daripada cukai. Bolehlah menggalakkan aku melabur lagi.

  6. Mengalakkan penglibatan aktiviti beruniform di sekolah dengan pemberian sepasang uniform percuma kepada pelajar yang pendapatan keluarga kurang daripada RM1000 sebulan. Jadi, tiada lagi alasan tidak mampu untuk terlibat dalam aktiviti kokurikulum di sekolah lepas ni.

  7. Pembentukan dana pinjaman perumahan kepada rakyat yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau tiada bukti pendapatan sistematik. Yang ini bagus untuk peniaga kecil-kecilan yang tidak berpeluang untuk meminjam dana untuk membeli rumah.


Aku senaraikan tujuh dululah sebab yang lain-lain isi lebih tertumpu kepada sektor korporat dan kewangan islam yang bukan di level rakyat marhaen. Lagi satu adalah tiada pengumuman pemberian bonus kepada kakitangan awam. Baguslah tu sebab diorang baru je dapat kenaikkan gaji. Tiada bonus maka tiadalah kenaikkan harga barang menggila oleh peniaga yang rakus. Syukur!!!!! Tapi, bonus boleh diberikan cuma perlulah secara pengumuman pekeliling dalaman sahaja supaya tidak dihidu oleh peniaga yang rakus tuh..Anyway, tiada apa pun yang mengejutkan daripada bajet 2008 ni kecuali tiada bonus untuk kakitangan awam...

Saturday, September 8, 2007

Hijau Kuning lakar sejarah

Raih tiga gelaran semusim selepas belasah Perak saingan final Piala Malaysia malam tadi

9suk28a.jpg



MUSIM penuh gemilang ditamatkan Kedah dengan mahkota kejuaraan ketiga – menyapu bersih tiga trofi utama – sesudah membenamkan Perak 3-0 yang beraksi dengan bekalan 10 pemain pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Anak buah pengendali Azraai Khor Abdullah pasti pulang penuh bangga selepas muncul juara mutlak bagi musim 2006-07 ketika penyerang import dari St Vincent & The Grenadines, Marlon Alex James menyumbang dua gol manakala Khyril Muhymeen Zambri membuka tirai jaringan.

Mereka menjuarai Liga Super dan Piala FA sebelum ini.

Dua gol pantas dalam tempoh dua minit pada babak pertama menyentap sedikit sebanyak semangat anak buah Steve Darby yang tenggelam punca dalam cubaan menembusi benteng pertahanan lawan yang utuh ditunjangi ketua pasukan, A Victor dan Cornelius Huggings.

Sekali pun pada awalnya saingan agak perlahan dan sedikit membosankan, ia kemudian bertukar wajah selepas 20 minit pertama dan stadium yang dipenuhi kira-kira 80,000 penonton gegak gempita meraikan gol pertama Kedah jaringan Khyril Muhymeen.

Jaringan yang hadir pada minit ke-25 itu berpunca daripada serangan balas pantas Hijau Kuning dengan James menyedari Khyril Muhymeen berseorangan di sayap kiri dan melorongkan bola tepat kepada pemain skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu.

Khyril Muhymeen yang tidak dikawal rapi pertahanan Perak melarikan bola ke penjuru kiri kotak penalti lawan sebelum merembat cantik melepasi jangkauan penjaga gol lawan, Nasril Nourdin.

Dua minit kemudian, stadium bergegar lagi dengan tempikan dan teriakan keriangan penyokong Kedah apabila James, yang kempunan beraksi pada final Piala FA 30 Jun lalu kerana penggantungan perlawanan, menambah gol kedua buat pasukannya.

Menerusi satu lagi serangan balas, James yang mendapat hantaran pendek rakan serangannya Hasmawi Hassan, bijak berpusing 90 darjah sebelum meledakkan tendangan separa voli kaki kiri sekali gus menyaksikan Nasril tertewas kali kedua.

Petanda malang terus melanda Perak, juara Piala Malaysia tujuh kali, apabila selepas 36 minit mereka tidak dapat menggunakan khidmat dua penyerang utamanya, Khalid Jamlus dan Keita Mandjou yang mengalami kecederaan apabila dikasari lawan.

Khalid, pertaruhan terbaik Darby untuk mendapatkan gol, tercedera dan digantikan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-30 manakala Mandjou, import dari Guinea, terpaksa akur dengan keadaan dan digantikan R Surendren enam minit kemudian.

Lebih malang buat skuad Seladang, mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain dua minit sebelum babak pertama tamat apabila ketua pasukannya, Ahmad Shahrul Azhar Sofian menerima kad kuning kedua sekali gus dilayangkan kad merah.

Ahmad Shahrul, yang menerima kad kuning pertama pada minit ke-22 kerana mengasari pemain tengah Kedah,Nelson Sam Martin, dihukum pengadil C Ravichandran dari Selangor kerana terjahan serupa ke atas pemain import dari Chile itu.

James memadamkan terus sebarang cabaran Perak dengan gol ketiga sembilan minit sebelum tamat selepas hantaran lambung Ahmad Fauzi Shaari dari tengah bijak disempurnakannya dengan sepakan kaki kiri ke penjuru kanan pintu gol lawan memperdayakan Nasril.

KEDAH: Helmi Eliza Elias; V Thirumurugan, A Victor, Cornelius Huggings, Shafizan Hashim; K Soley (MatSabre Abu m80), Ahmad Fauzi Shaari, Nelson Sam Martin(Bunyamin Umar m60), Khyril Muhymeen Zambri (SamransakKram m69); Hasmawi Hassan, Marlon Alex James.

PERAK: Nasril Nourdin; Ahmad Azlan Zainal (SSubramaniam m66), Vedran Kukoc, Chan Wing Hoong; K Nanthakumar; Shahrulnizam Mustapa, Yusri Che Lah, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Danial Fadzly Abdullah; Khalid Jamlus (Ahmad Fakri Saarani m30), Keita Mandjou (R Surendran m36).

Pengadil: C Ravichandran

(Oleh Hamdan Saaid dan Mohd Fadzrie Hazis -Berita Harian)