Sunday, September 16, 2007

Ferrari Menang Bergaya di F1 Grand Prix Belgium

Pasukan Ferrari menang dengan penuh bergaya di Grand Prix F1 Belgium dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan podium pertama dan kedua. Kimi Raikkonen mendahului perlumbaan daripada awal hingga ke penghabisan dan diikuti oleh Felipe Massa untuk penguasaan total pasukan Ferrari. Raikkonen kini hanya 13 mata di belakang Hamilton untuk kejuaraan F1 musim ini dengan 30 mata masih boleh dimenangi.

Bagi pasukan McLaren pula yang didapati bersalah dalam skandal pengintipan teknologi pasukan Ferrari baru sahaja didenda USD100 juta dan ditolak kesemua mata kejuaraan kategori pengeluar.Bagaimanapun kedua-dua pemandu mereka Hamilton dan juara dunia musim lalu Alonso dibenarkan untuk meneruskan pertandingan. Di kejohanan GP Belgium ini, persaingan sengit berlaku di antara Alonso dan Hamilton berakhir dengan Alonso mendahului Hamilton pada kedudukan ketiga dan keempat.


Keputusan penuh 2007 Grand Prix F1 Belgium




Komentar : Kegilaan aku kepada perlumbaan F1 tergendala sekejap apabila Micheal Schumacher bersara di musim yang lepas. Aku lebih meminati pemandu yang berskil tinggi daripada mengikuti pasukan F1. Pada pandangan aku, masih belum ada pengganti yang berkarisma seperti Schumacher lagi. Kemungkinan yang terdekat adalah sensasi musim ini iaitu Lewis Hamilton. Bagi aku Alonso masih belum dapat menarik perhatian aku untuk menyokong beliau. Mungkin karakternya yang tidak menarik perhatian aku.

Saturday, September 15, 2007

Liverpool Hanya Mampu Seri

livports.jpgLiverpool hanya mampu mencatatkan seri tanpa jaringan di Fratton Park semalam. Perlawanan menentang Portsmouth yang agak seimbang ini menyaksikan Jamie Carragher turun buat kali pertama selepas dua minggu mengalami kecederaan tulang rusuknya. Banyak peluang-peluang menarik dicipta tetapi tidak dapat disudahkan dengan baik oleh penyerang kedua-dua pasukan terutama sekali oleh Liverpool yang memilih untuk tidak menurunkan Torres di awal perlawanan. Kelihatan gandingan Andriy Voronin dan Peter Crouch kurang menjadi bilamana gagal memanfaat peluang untuk menjaringkan gol.

Penjaga gol Liverpool, Pepe Reina menjadi penyelamat kepada pasukan apabila Portsmouth dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Mike Riley apabila Alvaro Arbeloa kelihatan menarik baju penyerang Arsenal, Kanu. Pepe Reina melonjak dirinya ke sebelah kanan untuk menolak keluar tendangan Kanu.

Perlawanan ini menampakkan Rafa begitu berhati-hati dalam percaturannya dengan tidak menurunkan kesebelasan utama yang menewaskan pasukan Derby 6-0. Percaturan yang kurang menjadi ini dibuat selepas mengambil kira kecergasan pemain yang terlibat dalam perlawanan antarabangsa dan persediaannya menghadapi Porto FC di pertandingan Liga Juara-Juara Eropah. Rafa menurunkan Torres, Steven Gerard dan Babel pada lewat permainan untuk cuba meraih tiga mata penuh daripada perlawanan ini bagaimanapun gagal. Peluang terbaik Liverpool hasil gerakan cantik Pennant, Sissoko dan Babel bagaimanapun gagal disudahkan oleh Voronin apabila sepakannya terkena palang atas gol Portsmouth.

Pompey yang menyaksikan kembalinya Sol Campbell dan kehadiran Papa Bouba Diop di barisan tengah Portsmouth gagal menjumpai rentak permainan yang diperlukan di awal minit permainan. Peningkatan permainan semakin baik ditunjukkan oleh Portsmouth apabila minit permainan bertambah. Penyerang Portsmouth Kanu dan Benjani mempunyai banyak peluang yang disia-siakan di hadapan pintu gol Liverpool apabila gagal menyudahkan hantaran.

Corak perlawanan terus seimbang hingga ke akhir dengan kedua-dua pasukan menyerang. Nampaknya Liverpool masih tidak dapat memecah kebuntuan kemenangan ke atas Portsmouth yang mempunyai rekod yang baik ke atas Liverpool. Pada musim yang lepas, Portsmouth berjaya mencuri 4 daripada 6 mata perlawanan liga daripada Liverpool.

Thursday, September 13, 2007

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak

masjid.jpg

Semasa aku menonton Buletin Utama..
Pembaca berita, "Kita berhenti seketika untuk mendengar satu pesanan penting." Aku ingat umum apa, rupanya nak umum tarikh berpuasa pada hari Khamis 13/9/2007. Alhamdulillah! Umur aku dipanjangkan untuk bertemu lagi dengan bulan yang mulia bulan Ramadan Al-Mubarak. Seingat aku selama berpuasa dari mula dulu (Mungkin masa aku darjah 3 kut) hingga dah angka depan jadik 3, hanya 2 hari sahaja aku tertinggal puasa.Sebabnya biarlah rahsia...Itu pun dah diganti..

Apa-apa pun, tanamkan semangat, lakukan ibadah puasa dengan seikhlas hati dan elakkan pembaziran. Dengan ini, aku ingin mengucapkan, Selamat Menyambut Ramadan Al Mubarak.



Monday, September 10, 2007

Bajet 2008

Aku lambat sket ler nak meng-update-kan blog aku ni sekarang sebab banyak keja pulak nak kena buat. Macamana pun blog ni kena update jugak kan..Jadi aku nak menulis mengenai bajet 2008 yang diumumkan pada hari Jumaat yang lalu oleh Perdana Menteri Malaysia yang asyik tertidur je..Nasib baik masa pembentangan Bajet 2008 dia tak tidur...Antara isipati Bajet 2008 yang mempunyai kesan langsung kepada hidup aku di tahun 2008 :

  1. Pengeluaran akaun 2 KWSP dibenarkan setiap bulan untuk membiayai ansuran pembelian bagi sebuah rumah.Cepat sikit habis hutang rumah aku tu..

  2. Pengurangan duti stem bagi pembelian rumah yang bernilai kurang daripada RM250000.

  3. Penghapusan yuran persekolahan di peringkat rendah dan menengah. RM4.50 je setahun!! Patut dah lama dihapuskan.

  4. Pemberian pinjaman buku teks kepada semua pelajar tanpa mengambil kira pendapatan isi keluarga.

  5. Dividen pelaburan yang dikecualikan daripada cukai. Bolehlah menggalakkan aku melabur lagi.

  6. Mengalakkan penglibatan aktiviti beruniform di sekolah dengan pemberian sepasang uniform percuma kepada pelajar yang pendapatan keluarga kurang daripada RM1000 sebulan. Jadi, tiada lagi alasan tidak mampu untuk terlibat dalam aktiviti kokurikulum di sekolah lepas ni.

  7. Pembentukan dana pinjaman perumahan kepada rakyat yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau tiada bukti pendapatan sistematik. Yang ini bagus untuk peniaga kecil-kecilan yang tidak berpeluang untuk meminjam dana untuk membeli rumah.


Aku senaraikan tujuh dululah sebab yang lain-lain isi lebih tertumpu kepada sektor korporat dan kewangan islam yang bukan di level rakyat marhaen. Lagi satu adalah tiada pengumuman pemberian bonus kepada kakitangan awam. Baguslah tu sebab diorang baru je dapat kenaikkan gaji. Tiada bonus maka tiadalah kenaikkan harga barang menggila oleh peniaga yang rakus. Syukur!!!!! Tapi, bonus boleh diberikan cuma perlulah secara pengumuman pekeliling dalaman sahaja supaya tidak dihidu oleh peniaga yang rakus tuh..Anyway, tiada apa pun yang mengejutkan daripada bajet 2008 ni kecuali tiada bonus untuk kakitangan awam...

Saturday, September 8, 2007

Hijau Kuning lakar sejarah

Raih tiga gelaran semusim selepas belasah Perak saingan final Piala Malaysia malam tadi

9suk28a.jpg



MUSIM penuh gemilang ditamatkan Kedah dengan mahkota kejuaraan ketiga – menyapu bersih tiga trofi utama – sesudah membenamkan Perak 3-0 yang beraksi dengan bekalan 10 pemain pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Anak buah pengendali Azraai Khor Abdullah pasti pulang penuh bangga selepas muncul juara mutlak bagi musim 2006-07 ketika penyerang import dari St Vincent & The Grenadines, Marlon Alex James menyumbang dua gol manakala Khyril Muhymeen Zambri membuka tirai jaringan.

Mereka menjuarai Liga Super dan Piala FA sebelum ini.

Dua gol pantas dalam tempoh dua minit pada babak pertama menyentap sedikit sebanyak semangat anak buah Steve Darby yang tenggelam punca dalam cubaan menembusi benteng pertahanan lawan yang utuh ditunjangi ketua pasukan, A Victor dan Cornelius Huggings.

Sekali pun pada awalnya saingan agak perlahan dan sedikit membosankan, ia kemudian bertukar wajah selepas 20 minit pertama dan stadium yang dipenuhi kira-kira 80,000 penonton gegak gempita meraikan gol pertama Kedah jaringan Khyril Muhymeen.

Jaringan yang hadir pada minit ke-25 itu berpunca daripada serangan balas pantas Hijau Kuning dengan James menyedari Khyril Muhymeen berseorangan di sayap kiri dan melorongkan bola tepat kepada pemain skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu.

Khyril Muhymeen yang tidak dikawal rapi pertahanan Perak melarikan bola ke penjuru kiri kotak penalti lawan sebelum merembat cantik melepasi jangkauan penjaga gol lawan, Nasril Nourdin.

Dua minit kemudian, stadium bergegar lagi dengan tempikan dan teriakan keriangan penyokong Kedah apabila James, yang kempunan beraksi pada final Piala FA 30 Jun lalu kerana penggantungan perlawanan, menambah gol kedua buat pasukannya.

Menerusi satu lagi serangan balas, James yang mendapat hantaran pendek rakan serangannya Hasmawi Hassan, bijak berpusing 90 darjah sebelum meledakkan tendangan separa voli kaki kiri sekali gus menyaksikan Nasril tertewas kali kedua.

Petanda malang terus melanda Perak, juara Piala Malaysia tujuh kali, apabila selepas 36 minit mereka tidak dapat menggunakan khidmat dua penyerang utamanya, Khalid Jamlus dan Keita Mandjou yang mengalami kecederaan apabila dikasari lawan.

Khalid, pertaruhan terbaik Darby untuk mendapatkan gol, tercedera dan digantikan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-30 manakala Mandjou, import dari Guinea, terpaksa akur dengan keadaan dan digantikan R Surendren enam minit kemudian.

Lebih malang buat skuad Seladang, mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain dua minit sebelum babak pertama tamat apabila ketua pasukannya, Ahmad Shahrul Azhar Sofian menerima kad kuning kedua sekali gus dilayangkan kad merah.

Ahmad Shahrul, yang menerima kad kuning pertama pada minit ke-22 kerana mengasari pemain tengah Kedah,Nelson Sam Martin, dihukum pengadil C Ravichandran dari Selangor kerana terjahan serupa ke atas pemain import dari Chile itu.

James memadamkan terus sebarang cabaran Perak dengan gol ketiga sembilan minit sebelum tamat selepas hantaran lambung Ahmad Fauzi Shaari dari tengah bijak disempurnakannya dengan sepakan kaki kiri ke penjuru kanan pintu gol lawan memperdayakan Nasril.

KEDAH: Helmi Eliza Elias; V Thirumurugan, A Victor, Cornelius Huggings, Shafizan Hashim; K Soley (MatSabre Abu m80), Ahmad Fauzi Shaari, Nelson Sam Martin(Bunyamin Umar m60), Khyril Muhymeen Zambri (SamransakKram m69); Hasmawi Hassan, Marlon Alex James.

PERAK: Nasril Nourdin; Ahmad Azlan Zainal (SSubramaniam m66), Vedran Kukoc, Chan Wing Hoong; K Nanthakumar; Shahrulnizam Mustapa, Yusri Che Lah, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Danial Fadzly Abdullah; Khalid Jamlus (Ahmad Fakri Saarani m30), Keita Mandjou (R Surendran m36).

Pengadil: C Ravichandran

(Oleh Hamdan Saaid dan Mohd Fadzrie Hazis -Berita Harian)

Monday, August 13, 2007

Bas Ekpress Maut - Takziah Untuk Keluarga 20 Mangsa Yang Terbunuh

busofdeath.jpg

Takziah buat keluarga mangsa nahas bas ekspres yang meragut nyawa 20 penumpang. Banyakkanlah bersabar kerana ini adalah satu daripada takdir kehidupan yang ditentukan oleh tuhan. Sesungguhnya tragedi ini adalah yang terburuk dalam sejarah pengangkutan awam Malaysia. Perjalanan bas tersebut daripada Melaka ke Alor Setar, Kedah berakhir dengan tragedi di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran dengan Bukit Gantang, Perak. Kemalangan ngeri terbabit berlaku pada pagi Isnin sekitar jam 4.20 pagi.

Pemandu bas yang memiliki 13 saman trafik dengan dua waran tangkap turut terbunuh dalam kejadian tersebut. Manakala bas ekspress yang berusia 20 tahun itu pula mempunyai 19 saman dan tidak mempunyai permit untuk melalui route Melaka- Alor Setar. Persoalan disini, bagaimana perkhidmatan bas awam dengan rekod seburuk ini masih boleh dibiarkan untuk berada di atas jalan raya? Penguatkuasaan yang sangat lemah! Mungkinkah pengawai penguatkuasa sudah boroi dengan suapan daripada syarikat pengangkutan yang rakus sehingga tak larat nak menjalankan tanggungjawab? Tubuhlah beratus badan penyiasat pun, tetapi jika yang boroi-boroi ini masih wujud, kejadian akan berulang dan badan penyiasat ini pun akan menjadi satu lagi tempat untuk memboroikan perut mereka.

Aku amat sedih.........

Kejadian Tepat Jam 2.15 Pagi Semalam

Tepat jam 2.15 pagi..Aku kedengaran salakan anjing mendayu-dayu macam ada sesuatu yang tak kena sedang berlaku. Berdiri bulu roma aku bila mengingatkan cerita si pontianak yang muncul di sebalik sahutan mendayu anjing. "Hishh!!," dengus aku rimas menghadapi suasana yang amat suspen ini. Sudahlah aku sedang keseorangan akibat tidak boleh tidur. "Ini mesti Nescafe punya pasal nih!," aku menyalahkan dua gelas Nescafe yang aku minum selepas makan malam tadi. Dengan tergopoh-gapah, aku menyegerakan kerja mengemaskinikan laman blog aku. Masih terngiang-ngiang di telinga gemersik suara emak aku memceritakan tentang kejadian dia di suatu pagi. "Semalam mak sahur dalam bilik je. Takut mak sebab masa mak tengah makan di dapur pagi tadi, terdengar bunyi tapak kaki orang berlari masuk bilik. Padahal mak yakin korang tidur masa itu." cerita emak aku. " Mak punya perasaan saja kot?," balas aku sinis kepada cerita emak itu. Tapi malam ini giliran aku pulak.."Ishkkhh! kenapa lambat pulak streamyx nihh? Bangang tullah servis tmnet nihh..," aku mengomel sorang-sorang. Tiba-tiba, aku teringatkan sesuatu..Lalu aku pun memerhatikan lampu LED di modem streamyx. Berkelip-kelip LED tengah modem streamyx aku. "Sah! Sah! Bangsat punya penyangak..!!," ngomel aku lagi dalam keheningan pagi sambil mengangkat gangang telefon untuk memastikan tekaan aku..Teringat aku kepada  tragedi Jun yang lalu..

Esok aku kena call talian 100 TM nampaknya..Era aku tanpa internet akan bermula..Kenapalah penyangak-penyangak ini dijadikan sebagai manusia. Kan lebih baik dilahirkan sebagai binatang..Maafkan mak kassiiimmmmmmmmmm.....